Jutawan Motor

Kali ini saya ingin berkongsi kisah kejayaan seorang lagi tokoh usahawan Malaysia. Siapa tidak kenal dengan Datuk Low Boon Siew. Tokoh yang memperkenalkan motosikal Honda di Malaysia. Ikuti Kisah Beliau.

Datuk Low Boon Siew

Datuk Low Boon Siew berasal dari Kampung Hui, daerah Fukian, sebuah wilayah yang di anggap paling miskin di China pada satu ketika dahulu. Kehidupan keluarga Datuk Low sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah. Sejak kecil lagi beliau bekerja mengutip najis haiwan sebagai baja pertanian dan memancing ikan untuk dijual sebagai tambahan pendapatan keluarganya.

Ketika berumur 12 tahun, ayahnya membawanya ke Pulau Pinang untuk berhijrah dan mencari sumber pendapatan. Beliau disuruh oleh ayahnya bekerja di sebuah kedai mekanik. Mereka berdua tidak mempunyai sedikit pun masa untuk bersukaria tetapi bekerja kuat untuk menghantar duit untuk keluarga yang berada di China. Untuk memperolehi pendapatan lebih, di sebelah malam beliau membasuh bas dan upahnya 10 sen bagi setiap bas.

Ketika berumur 18 tahun, beliau tertarik untuk berniaga sendiri dan sering memikirkan cara bagaimana untuk mendapat peluang berbuat demikian. Hasil daripada wang yang disimpan sedikit demi sedikit, beliau kemudian membeli beberapa peralatan mekanik bernilai RM 10.00 dan 8 buah bas berharga RM200.00 untuk diperbaiki dan dijadikan bas penumpang. Bas ini mendatangkan hasil lumayan kepada beliau iaitu RM1.20 hingga RM1.40 sehari.

Setiap keuntungan disimpan sedikit sementara bakinya dijadikan modal pusingan semula. Dalam masa 7 tahun beliau mempunyai 40 buah bas dan membuka kedai bateri serta barang ganti kenderaan. Selepas perang dunia kedua tamat, Datuk Low meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British.

Dalam tahun 1958, beliau melawat Jepun untuk makan angin. Di Jepun beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin mendapat pasaran baik jika dibawa ke sini. Setelah mengesan siapakah pengeluarnya, beliau membuat perjanjian untuk memesan 12 unit. Motosikal ini kemudian dijual kepada kawan rapatnya tanpa mengambil apa-apa untung.

Motosikal Honda yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namun ia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati. Beliau adalah orang yang berjaya menempatkan kereta jenis Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar di negara ini sejak 3 tahun lalu.

Kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10 tokoh usahawan terkemuka di Malaysia. Adalah menjadi pengetahuan umum, Datuk Low tidak begitu pandai menulis namanya secara tepat setelah belajar sekian lama. Namun begitu beliau memiliki satu pasukan profesional untuk berkhidmat dengannya.
Apa yang dapat dipelajari daripada kisah Datuk Low Boon Siew ini ialah, dalam menjalankan sesuatu perniagaan, kita tidak boleh patah semangat dengan segala halangan yang datang. Walaupun dikutuk atau ditertawakan, itu bukan satu faktor untuk menghalang kejayaan tetapi jadikan ia sebagai pendorong untuk kita lebih maju dan berjaya.

Satu lagi faktor kejayaan beliau adalah bijak mengambil peluang. Dengan memperkenalkan model motosikal yang belum pernah ada di Malaysia pada masa itu. “Be the first”.

Read more...

Dari Kerja Bank Jadi Usahawan

HATI ibu mana tidak luluh jika mengenangkan anak terlantar sakit tetapi dia ada beratus-ratus kilometer dari rumah atas urusan perniagaan.
Apakan daya, mahu tidak mahu terpaksalah Norhasnidar Mohd Nor, 36, atau lebih mesra dipanggil Mimie telan semua kesedihan itu demi membina perniagaan yang bakal memberi kesenangan hidup buat anaknya.
Mimie yang mempunyai tiga anak lelaki dan seorang perempuan berusia 18, 15 (perempuan), 13 dan empat tahun berusaha keras untuk membina empayar perniagaan di bawah jenama Halaalan Thoyyiba, produk penjagaan seisi rumah yang menepati keperluan umat Islam di negara ini iaitu produk halal.
Demi membangunkan perniagaan itu, Mimie banyak berjauhan dengan keluarga. Nasib baik ibu bapanya, Mohd Nor Abd Rahman, 70, dan Mahani Mohd Yusof, 63, sedia menemani anak di rumah di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.Menurut Mimi, dia dengan ditemani suami sering ke Johor, Pantai Timur atau Utara Semenanjung untuk memperkukuhkan perniagaannya.
“Ada masanya saya hanya mampu menangis apabila mengenangkan anak paling kecil di rumah yang demam di Kuala Lumpur tetapi saya jauh di Terengganu.
“Risau dan bimbang usah ceritalah, sedangkan apa yang dapat saya buat hanyalah berdoa dan menelefon, sekurang-kurangnya anak dapat mendengar suara saya,” katanya ketika ditemui di pejabat syarikatnya, BNZ Marketing di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Bagi meluangkan masa Mimie dan empat anaknya, setiap ruang masa cuba diisi dengan kegiatan bersama. Contohnya, apabila anak kedua dan ketiganya, Sofea Balqis dan Mohd Shafiq Shafri Shubli pulang dari sekolah, mereka terus ke pejabat BNZ Marketing di Jalan Raja Muda Aziz.
“Saya kena bahagikan masa antara perniagaan dengan anak. Kalau boleh, anak sepanjang masa dengan saya, balik sekolah terus datang ke pejabat ini, duduk dan buat kerja di sini.
“Anak tak kekok di pejabat sebab dulu pejabat ini adalah rumah kami, lagi pun di tingkat satu (tingkat bawah pejabat) adalah rumah kakak saya, malam baru balik ke Wangsa Maju.
“Di rumah, ada pembantu rumah uruskan keperluan dan ibu bapa saya juga tinggal bersama kami, jadi mereka turut tolong tengok-tengokkan anak, terutama apabila saya dan suami ke luar daerah,” katanya.
Anak sulungnya, Mohd Ashraf, tamat tingkatan lima dan kini bekerja dengan Mimie sebagai didikan awal untuk mewarisi empayar Halaalan Thoyyiba. Cuma tinggal anak paling kecil, Ariff Daniel yang dijaga ibu bapa Mimie.
Menurut Mimie, cabaran membangunkan BNZ Marketing datang dalam pelbagai bentuk, termasuk cemuhan masyarakat terhadap produk keluaran Bumiputera selain kemampuannya yang diragui, apa lagi beliau wanita.
“Ramai juga memperlekeh kemampuan orang Melayu dalam perniagaan. Mereka dok kata, boleh jual ke produk Melayu?” katanya yang menjadikan sikap sebilangan masyarakat itu sebagai pendorong untuk membuktikan kejayaannya sebagai usahawan berjaya.
Menyentuh usaha niaganya, Mimie berkata, minat perniagaan disuburkan ketika menceburi bidang jualan langsung selama lima tahun hingga berjaya meraih peringkat kedua tertinggi atau ‘Diamond’ yang melayakkan beliau menikmati pelbagai kemudahan dan ganjaran wang yang lumayan.
Ketika itu beliau masih bekerja di bank di ibu negara.Bagaimanapun beliau tidak puas dengan pencapaian itu, apa lagi mengenangkan hasil kerja keras itu sebenarnya ditumpukan untuk orang lain.
“Mula-mula saya tidak terfikir langsung untuk menceburi bidang bisnes. Apa lagi hendak keluarkan produk sendiri. Bermula dengan jualan langsung selama lima tahun, saya belajar selok-belok berniaga dan belajar perhubungan pelanggan,” katanya.
Sebenarnya, bakat anak bongsu daripada tiga beradik ini disemai sejak di bangku sekolah apabila sering membantu ibu menjual sate di medan selera di Labuan dari jam 4.30 petang hingga 11 malam.“Saya kurang minat jual sate, apatah lagi kalau nak jadikan profesyen, sebab itu apabila tamat sekolah tingkatan enam, saya bekerja dengan sebuah bank di Kuala Lumpur.
“Siapa sangka, rupa-rupanya saya ada bakat terpendam untuk menjadi usahawan,” katanya tersenyum.
Berbekal pengalaman dan kemahiran dalam pemasaran sepanjang berkhidmat dengan syarikat jualan langsung, Mimie tekad berhenti kerja bank yang disertainya selama 13 tahun untuk memulakan perniagaan sendiri pada 2006.Beliau bermula dengan memasarkan produk import secara kecil-kecilan dan pada masa sama menumpukan usaha penyelidikan untuk mengeluarkan produk sendiri dan mengenal pasti pasaran serta produk halal yang mendapat permintaan tinggi, terutama di kalangan penduduk di luar Lembah Klang.
Katanya, selepas menempuh pelbagai cabaran dan rintangan, bermula dua bulan lalu sebanyak 13 produk penjagaan seisi rumah di bawah jenama Halaalan Toyyiba mula beredar di pasaran dan promosi secara besar-besaran diadakan di seluruh negara, terutama Johor dan Pantai Timur.

PROFIL
NAMA: Norhasnidar Mohd Nor
UMUR: 36 tahun
JAWATAN: Pengarah Kewangan dan Pemasaran
PENDIDIKAN: Tingkatan Enam SMK Labuan
ASAL: Wilayah Persekutuan Labuan
ANAK: Mohamad Ashraf Shubli (18), Sofea Balqis (15),
Mohd Shafiq Shafri (13) dan Ariff Daniel (4)


Sasar jualan RM1.5 juta sebulanBNZ Marketing mensasarkan produk penjagaan diri seisi keluarga jenama Halaalan Toyyiba mencapai jualan bernilai RM1.5 juta sebulan bermula tahun depan melalui rangkaian 1,000 pengedar di seluruh negara.
Pengarah Kewangan dan Pemasarannya, Norhasnidar Mohd Nor, berkata unjuran jualan itu dibuat berdasarkan promosi besar-besaran, penyelidikan pasaran dan pelantikan pengedar baru yang giat jalankan di luar Lembah Klang sejak dua bulan lalu.
Beliau yang juga lebih mesra dikenali sebagai Mimie berkata, sehingga kini BNZ Marketing mencatat jualan mencapai RM100,000 sebulan daripada rangkaian 200 pengedar dengan sambutan hebat yang diterima, terutama di Johor dan Kelantan, selaras dengan jumlah ejen pengedar yang paling ramai di kedua-dua negeri itu.
“Daripada 13 produk penjagaan diri seisi rumah, Q-Booster untuk meningkatkan kecerdasan dan kopi tenaga 3 dalam 1 Magic Power Cafe paling mendapat sambutan dan laris di pasaran.
“Kami yakin produk ini berupaya menawan minat pembeli, terutama masyarakat Islam, berikutan kelebihan produk 100 peratus halal.
“Pembuatan produk berasaskan herba turut menjadikan permintaan terhadap kedua-dua barangan itu terus meningkat,” katanya.Menurutnya, pemasaran produk Halaalan Toyyiba dirangsang lagi oleh pembungkusan moden, cantik dan terkini seperti penggunaan cawan bagi kopi dan kotak bagi produk lain, menjadikan ia dapat menarik minat pembeli berbanding pembungkusan biasa yang mudah dan ringkas.
Katanya, BNZ Marketing mendapat pendedahan meluas mengenai teknologi pembungkusan itu hasil bantuan dan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).Selain itu, katanya, usaha promosi produk Halaalan Toyyiba secara besar-besaran pula mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec).
Mimie berkata, BNZ Marketing kini merangka usaha membina kilang lebih besar bagi meningkatkan pengeluaran produk Halaalan Toyyiba berbanding beroperasi masa ini di sebuah kilang kecil di Kampung Baru.
Sehubungan itu, peniaga yang berminat menyertai rangkaian pengedar produk Halaalan Toyyiba boleh menghubungi BNZ Marketing di alamat 169-E, Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kampung Baru, 53000 Kuala Lumpur atau e-mel admin@bayar2u.com atau menghubungi talian 03-26943231 atau 019-6160033

Read more...

Mat despatch jadi tauke



Miliki syarikat pengahantaran sendiri, Kumpulan Aero Line BAGI kebanyakan pelajar universiti, bekerja sambilan mencari pendapatan sampingan menampung perbelanjaan adalah perkara biasa, namun anak muda kelahiran Merang, Terengganu, Zamri Khamis, 35, pengalaman itu cukup berbeza kerana memberi kesan besar dalam hidupnya. Ketika negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1997, Zamri melihat satu peluang besar dalam sektor perkhidmatan penghantaran cepat atau 'courier' dan terus berusaha keras sehingga berjaya memiliki syarikat sendiri, Aero Line of Companies.





Semua bukan datang secara mudah kerana bekas 'mat despatch' ini terpaksa menempuh pelbagai pahit maung dan cabaran untuk berjaya. Bermula kerja sambilan sebagai penghantar surat dengan bayaran elaun RM5 sehari, seterusnya menjalani latihan amali di syarikat yang sama di Pulau Pinang, Zamri bertekad untuk bergerak lebih jauh kerana melihat potensi dalam sektor itu. "Lapan tahun saya bekerja menghantar surat dan timbul keinginan kuat untuk membuka perniagaan sendiri berbekalkan pengalaman yang ada. Di sebelah pagi, saya lengkap beruniform 'mat despatch' dan petangnya saya mencari pasaran.





Saya cukup memahami liku hidup 'mat despatch', faham apa masalah mereka sebab itu apabila berjaya membuka perniagaan sendiri, saya masih lagi menghantar surat atau dokumen. Ilmu yang ada perlu dikongsi dengan mereka sebab ia akan sentiasa berkembang.

"Jika ada masalah dengan pelanggan, saya sendiri akan turun padang. Misalnya berlaku masalah tak jumpa tempat penghantaran, saya akan cabar mereka untuk pergi semula dengan saya dan kami sama-sama bincang bagaimana strategi buat penghantaran tepat dan sistematik.

"Saya sendiri pernah merasai rekod penghantaran 90 tempat pada satu hari, jadi saya percaya pekerja saya juga boleh buat yang sama jika ikut jadual dan merancang secara sistematik," katanya yang juga Pengerusi Kumpulan Aero Line of Companies.

Bermula dengan modal RM30,000 hasil dorongan rakan dan keluarga, beliau membuka perniagaan dengan 10 kakitangan dan kini berdiri teguh apabila kakitangan di bahagian penghantaran bertambah kepada 190 orang di semua 14 cawangan seluruh negara termasuk di Kuching, Sarawak.
Rahsia kejayaannya cukup mudah kerana beliau sentiasa berpegang kepada konsep jangan tamak, jangan boros atau hemat berbelanja, sentiasa menjaga disiplin kerja serta bijak merancang perbelanjaan syarikat mengikut kemampuan.

"Saya masih kekalkan disiplin ketika kerja menghantar surat. Tepat 8.30 pagi, saya mesti ada di pejabat kerana saya percaya kepada konsep kepimpinan melalui teladan. Jika ada penghantaran khas pada hujung minggu, saya sendiri akan hantar.

"Pekerja juga perlukan rehat dan hanya akan bekerja lima hari seminggu, jadi tiada masalah jika saya sendiri buat kerja mereka kerana saya juga sama seperti mereka. Saya juga orang susah," katanya.

Selain itu, keinginan kuat untuk mendalami ilmu perniagaan mendorongnya melanjutkan pelajaran dan berjaya memperoleh Sarjana (Master) dalam bidang pengurusan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan menegaskan, semuanya bertujuan menambah pengalaman walaupun sibuk menguruskan syarikat.

"Ilmu akan memantapkan pengurusan dan dikongsi dengan pekerja. Sebilangan besar pekerja saya hanya mempunyai pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi kini ramai antara mereka yang bersama saya sejak awal penubuhan syarikat sudah dilantik sebagai pengurus atau penolong pengurus.

"Ada langsung yang tidak pernah sentuh komputer, tetapi kini mereka cukup mahir dalam pelbagai program. Itu yang membanggakan saya kerana berjaya mendidik dan memberikan mereka ilmu. Jika saya boleh berjaya, saya mahu mereka juga berjaya," katanya.

Terima caj perkhidmatan RM25 sebulan ketika mula berniaga

ZAMRI pernah mendapat caj bayaran perkhidmatan hanya RM25 sebulan dari OCBC pada peringkat awal menjalankan perniagaan. Kini, Zamri boleh berbaggga kerana caj bayaran perkhidmatan dari bank itu bertambah kepada RM12,000 sebulan.

Pelanggan pertamanya ialah RHB yang banyak memberi kepercayaan kepadanya dengan membayar caj bulanan RM1,000 sebulan dan kini meningkatkan perkhidmatan dengan bayaran RM60,000 sebulan.

Kini, keuntungan tahunan syarikat penghantaran, Aero Line Services Sdn Bhd bagi 2007 merekodkan pendapatan RM3.45 juta dan pendapatan tahun 2008 berakhir September ini, dijangka meningkat kepada RM4.2 juta. Keuntungan kumpulan mencatatkan RM6.5 bagi tempoh sama tahun lalu.

Pemuda yang masih bujang ini juga pernah menolak tawaran kerja sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta tawaran lumayan dari Petronas dengan alasan, jika syarikatnya ditutup, ia bermakna hampir 200 kakitangannya akan kehilangan kerja.





Profil:
-Zamri Khamis
-Tarikh lahir: 12 Januari 1973
-Tempat lahir: Merang, Terengganu
-Anak kedua daripada empat beradik
-Status: bujang
-Ayah: Khamis Omar (Allahyarham)
-Ibu: Khazanah Abdul Hamid, 65.
-Pendidikan 1) Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah 2) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Beseri tahun 1990 3) Matrikulasi Kolej Mara, Kulim, Kedah 1992 / 1993 4) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (1995 - 2000) - Sarjana Muda Pengurusan 5) Sarjana (Master) dalam Pengurusan Perniagaan - di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam - 2004.


-Senarai anak syarikat Aero Line of Companies:
-Aero Line Services Sdn Bhd.
-Aero Line Boutique Services Sdn Bhd
-Aero Line Worl Wide Sdn Bhd
-Aero Line Motor Sdn Bhd
-Premassa Sdn Bhd

Read more...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP